KUALA LANGAT 20 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengenai isu masyarakat India di negara ini seperti didakwanya ditindas yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Zaki Sanawi Hashim berkata, pihaknya bertindak demikian berikutan kenyataan tersebut dianggap tidak benar sama sekali.
“Kita buat laporan polis berhubung kenyataan pemimpin Waytha Moorthy yang mengatakan tiada kebebasan beragama di negara ini. Beliau juga mengatakan orang India di negara ini terpaksa menukar agama untuk bekerja dengan kerajaan.
“Kami sungguh kecewa kerana kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan perkara sebenar yang berlaku di Malaysia,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini, semalam.
Selain Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, empat lagi NGO yang membuat laporan polis ialah Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuala Langat, Gerakan Belia 4B Kawasan Kuala Langat dan Inspirasi Komuniti Bersama Rakyat (Iktibar) Kuala Langat.
Zaki Sanawi menambah, tuduhan Waytha Moorthy bahawa ribuan kuil Hindu dimusnahkan bukan sahaja tidak benar malahan boleh mengundang suasana tidak harmoni di negara ini.
Menurutnya, beliau berharap laporan polis tersebut disiasat dengan teliti dari segenap sudut perundangan.
“Walaupun beliau mengatakan video tersebut sudah 10 tahun usianya, kami berharap satu tindakan konkrit diambil bagi memberi keadilan kepada pihak yang dituduh kononnya bersikap zalim terhadap masyarakat India,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










