Pemilik rumah orang tua dituduh perdagang tiga wanita - Utusan Malaysia

Pemilik rumah orang tua dituduh perdagang tiga wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 22 Nov. – Seorang pemilik rumah penjagaan orang tua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita Indonesia sebagai buruh paksa sejak Julai lalu.

R. Parameswary, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperdagangkan Melan Zunia Haryati manakala bagi pertuduhan kedua dia melakukan kesalahan sama ke atas Wahyuni bagi maksud eksploitasi kerja paksa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah penjagaan orang tua di Taman Bukit Blossom, Seremban lebih kurang pukul 10 malam, 15 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, Parameswary didakwa memperdagangkan Sunarmi bagi tujuan sama di sebuah rumah di Jalan Nenas 3, Taman Rahang di sini kira-kira pukul 8 malam, 12 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Haron mengemukakan pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala pertuduhan ketiga RM5,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh yang diwakili peguam, John Fernandez diarahkan supaya melaporkan diri di Balai Polis Rahang di sini pada setiap 15 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh seburan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN