Pemilik rumah orang tua didakwa memperdagang tiga wanita Indonesia - Utusan Malaysia

Pemilik rumah orang tua didakwa memperdagang tiga wanita Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang pemilik rumah penjagaan orang tua di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita Indonesia sebagai buruh paksa sejak Julai lalu.

Tertuduh, R.Parameswary, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan Melan Zunia Haryati dan pertuduhan kedua dengan melakukan kesalahan sama ke atas Wahyuni bagi maksud eksploitasi kerja paksa. 

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah penjagaan orang tua di Taman Bukit Blossom, Seremban lebih kurang pukul 10 malam, 15 Julai lalu. 

Bagi pertuduhan ketiga, Parameswary didakwa memperdagangkan Sunarmi bagi tujuan sama di sebuah rumah di Jalan Nenas 3, Taman Rahang di sini kira-kira pukul 8 malam, 12 September lalu. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Haron mengemukakan pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda. 

Pihak pendakwa menawarkan wang ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. 

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, John Fernandez merayu wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menghidap penyakit diabetes dan memerlukan rawatan rapi.

Mahkamah menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh seburan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN