KUANTAN 22 Nov. – Kerja-kerja pembinaan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maran dekat sini yang terbakar Februari tahun lalu tidak dibatalkan tetapi ditangguhkan sementara.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan bagi kerja pembinaan asrama itu berjumlah RM2.25 juta sudah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada Oktober 2017.
“Bagaimanapun, melalui surat dikeluarkan pihak ECERDC pada 17 Mei lalu memaklumkan bahawa semua projek membabitkan kerajaan Pusat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang belum menerima surat setuju terima (SST) ditangguhkan (pelaksanaannya) sehingga tender dibuka atau ditawarkan semula kepada kontraktor.
“Ini bermaksud perkara itu akan dilaksanakan kemudian (selepas proses tender dibuka) dan bukannya dibatalkan. Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sedang mendapatkan maklum balas daripada menteri berkaitan hal ehwal agama Islam untuk mempertimbangkan penyaluran semula peruntukan itu bagi memastikan keselesaan pelajar SMA Maran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd. Sofian Abdul Jalil (PAS-Luit) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Mohd. Sofian membangkitkan persoalan mengenai status pembinaan asrama SMA Maran yang musnah dalam kebakaran tahun lalu.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, buat masa ini, semua pelajar SMA Maran ditempatkan di kuarters guru dan warden serta stor simpanan sekolah berkenaan yang sudah diubah suai.
“Keselesaan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan berharap Pusat boleh menyegerakan penyaluran peruntukan bagi membina asrama lebih selesa untuk pelajar sekolah berkenaan,” katanya.










