BUKIT MERTAJAM 25 Nov. – Seorang pemandu lori berstatus duda ditahan polis bersama dadah seberat hampir empat kilogram (kg) di kawasan Rawat dan Rehat, Juru Utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, sepasukan anggotanya menahan suspek yang berusia 41 tahun di kawasan letak kereta di situ kira-kira pukul 10.35 malam tadi.
Katanya, pemeriksaan di dalam kereta jenis BMW yang dinaiki suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan dan serbuk disyaki dadah jenis heroin.
“Pemeriksaan lanjut di tempat duduk penumpang bahagian hadapan menemukan bahan asas heroin seberat 3.7 kg dengan nilai yang dianggarkan mencecahkan RM318,000,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan juga menemukan sebanyak 5.9 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM105 dalam kenderaan berkenaan.
Katanya, polis turut menyita dua buah motosikal, tiga utas jam tangan mewah dan wang sebanyak RM4,000.
“Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah termasuk tiga kes dadah kini ditahan sehingga 1 Disember untuk membantu siasatan mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











