Pelajar hidap sakit jantung meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pelajar hidap sakit jantung meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 21 Nov. – Selepas enam bulan bertarung nyawa, seorang pelajar berusia 13 tahun yang menderita penyakit injap jantung berlubang akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan ibunya, di kediamannya di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini semalam.

Muhamad Azrul Shazwan Mat Safie atau panggilan mesranya Ayong yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, di sini menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 4.30 petang.

Ibunya, Rosmawati Mat, 50, berkata, anak keenam daripada lapan beradik itu dilihat tenat ketika bunyi azan Asar dan sebaik azan itu habis, Ayong menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di atas ribanya.

Katanya, setengah jam sebelum itu, arwah meminta makanan ayam segera KFC dan sepasang pakaian baru untuk dipakainya. 
 
“Saya bergegas membeli sepasang pakaian baharu dan makanan ayam goreng segera KFC di bandar ini. Ayong hanya sempat memakan secebis ayam goreng. 
 
“Seluar pula hanya dapat dipakai separuh sahaja manakala baju tidak sempat dipakai selepas melihat keadaannya yang semakin tenat,” katanya di sini semalam.

Rosmawati berkata, anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Asap B pada pukul 11 pagi.

Pada September lalu, akhbar ini menyiarkan kisah penderitaan sakit jantung yang dihadapi pelajar berkenaan.

Ayong yang sebelum ini aktif bersukan tidak dapat meneruskan persekolahan dan hidupnya hanya di atas kerusi ‘malas’ di rumahnya.

Lama-kelamaan tahap kesihatan Ayong semakin serius apabila kakinya mula sembab dan perutnya membengkak sehingga tidak boleh berjalan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN