GUA MUSANG – Selepas enam bulan bertarung nyawa, seorang pelajar berusia 13 tahun yang menderita penyakit injap jantung berlubang akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini semalam.
Muhamad Azrul Shazwan Mat Safie atau panggilan mesranya Ayong yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, di sini disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang.
Ibunya, Rosmawati Mat, 50, berkata, anak keenam daripada lapan beradik itu dilihat tenat ketika bunyi azan Asar dan sebaik azan itu habis, Ayong menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang di atas ribanya.
Katanya, setengah jam sebelum itu, arwah meminta makanan ayam segera KFC dan sepasang pakaian baru untuk dipakainya.
“Saya bergegas membeli sepasang pakaian baru dan makanan ayam goreng segera KFC di bandar ini. Ayong hanya sempat memakan secebis ayam goreng.
“Seluar pula hanya dapat dipakai separuh sahaja manakala baju tidak sempat dipakai selepas melihat keadaannya yang semakin tenat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rosmawati berkata, anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Asap B pada pukul 11 pagi ini.
Sebelum ini, pada September lalu, akhbar ini pernah menyiarkan kisah penderitaan sakit jantung yang dihadapi pelajar berkenaan. – K! ONLINE










