SEREMBAN – Seorang pekerja kontrak pemasangan paip dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), enam tahun lalu.
Tertuduh, Chu Tuan Kang, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi rasuah wang tunai RM3,000 kepada penolong pegawai penguat kuasa KPDNKK Negeri Sembilan, Mohd. Razip Jantan di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Sunggala di Port Dickson kira-kira pukul 5.20 petang, 20 Mei 2012.
Suapan tersebut sebagai dorongan agar Mohd. Razip tidak mengambil tindakan undang-undang dan menyelesaikan kes ke atas tertuduh yang disyaki memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa permit dan dokumentasi yang sah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDNKK kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurdiyanah Mohd. Nawawi mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pihak pendakwa menawarkan wang ikat jamin RM10,000 bagi pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru, Johor pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, M.Sivam merayu wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya hanya merupakan pekerja kontrak di Singapura selain menanggung keluarganya di Port Dickson.
Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwa.
Tuan Kang menjelaskan bayaran ikat jamin pada hari sama.
Mahkamah menetapkan 11 Januari 2019 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE










