Pekarangan Kompleks Pusat Islam Rantau ditenggelami air - Utusan Malaysia

Pekarangan Kompleks Pusat Islam Rantau ditenggelami air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Pekarangan Kompleks Pusat Islam Rantau yang menempatkan Masjid Imam Haji Kahar di Bandar Ekar Rantau di sini ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat banjir kilat kira-kira pukul 11 pagi ini. 

Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Muhd. Efeendi Rahmat berkata, banjir kilat disebabkan hujan lebat itu turut menjejaskan dua buah kuarters yang masing-masing didiami oleh imam dan bilal masjid berkenaan.

“Air banjir kilat memasuki kedua-dua kuarters itu, tetapi bangunan masjid tidak dimasuki air. Air cepat surut, maka kesemua mangsa tidak diarahkan berpindah.

“Salah sebuah kuarters didiami imam bersama tiga ahli keluarganya, manakala sebuah lagi kuarters didiami oleh bilal yang masih bujang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Muhd. Efeendi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.01 pagi dan banjir telah surut ke paras kurang setengah meter apabila pasukannya tiba di lokasi kejadian kira-kira 14 minit kemudian.

Kata beliau, seramai lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Senawang bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Menurut beliau, siasatan awal mempercayai banjir kilat itu berlaku disebabkan air dari sebuah projek perumahan bersebelahan Kompleks Pusat Islam Rantau mengalir dan bertakung di pekarangan kompleks itu.

Kejadian banjir kilat itu mendapat perhatian bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO turun padang bagi meninjau keadaan pekarangan Kompleks Pusat Islam Rantau pagi ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN