Pegawai imigresen didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai imigresen didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 21 Nov. – Seorang pegawai imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM3,000 bagi menutup kes tangkapan dua pekerja Indonesia, dua tahun lalu.

Tertuduh, Megat Khairul Anuar Sulaiman, 32, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah tersebut untuk diri sendiri daripada Muhammad Zahir Zahiri sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipnya bagi menutup kes tangkapan tersebut sewaktu perbualan telefon sebagai Pegawai Imigresen Gred KP17 yang bertugas di Jabatan Imigresen Negeri Perak, pada 30 Mac 2016, kira-kira pukul 1.55 tengah hari.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang berkenaan bagi tujuan sama di Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Perak pada hari sama, kira-kira pukul 5.10 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya, R. Kumuthambal memohon jaminan supaya ditetapkan sebanyak RM20,000 beserta seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kerana mendakwa dia tidak memiliki wang simpanan yang banyak selain perlu menanggung ibunya yang sakit serta adiknya yang masih belajar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×