Pegawai Imigresen didakwa minta dan terima rasuah RM3,000 - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen didakwa minta dan terima rasuah RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang pegawai imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki dua tahun lalu.

Tertuduh, Megat Khairul Anuar Sulaiman,32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah daripada Muhammad Zahir Zahiri iaitu wang tunai sebanyak RM3,000 sebagai suatu dorongan dan balasan untuk menutup kes tangkapan dua pekerja Indonesia.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh semasa dalam perbualan telefon sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu Pegawai Imigresen gred KP17 yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia negeri Perak  kira-kira pukul 1.55 petang pada 30 Mac 2016.

Tertuduh turut didakwa menerima wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Muhammad Zahir untuk menutup kes tersebut.

Kesalahan itu dilakukan oleh Megat Khairul Anuar di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri Perak kira-kira pukul 5.10 petang pada 30 Mac lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Seksyen 17 (a) (SPRM) 2009 untuk pertuduhan kedua.

Kedua-dua sekyen tersebut boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, R. Kumuthambal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kumuthambal meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

Megat Khairul Anuar dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin berikutan dia tidak mempunyai wang simpanan selain gaji bulanannya hanya RM2,400 dan perlu menanggung ibu yang sedang sakit dan adiknya.

Indra Nehru bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 30 November ini untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN