PDRM tawar saman trafik 50 peratus - Utusan Malaysia

PDRM tawar saman trafik 50 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 22 Nov. – Mereka yang memiliki saman tertunggak berpeluang menyelesaikannya pada kadar diskaun 50 peratus sempena Program Polis dan Masyarakat di Tesco Mergong dekat sini pada 26 hingga 28 November depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Chuah Seong Lim berkata, kaunter sama turut dibuka di Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tempoh tiga hari tersebut bagi memberi kemudahan kepada mereka yang berada di selatan negeri ini.

“Di Tesco Mergong, kami menyediakan lapan kaunter yang akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan orang ramai melakukan semakan dan membayar saman.

“Manakala di Cawangan Trafik IPD Kuala Muda, sebanyak enam kaunter disediakan untuk tujuan sama yang akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turut menyertai Pertandingan Bowling anjuran JSPT negeri bersama media dan agensi luar di sini hari ini.

Bagi mengelakkan kesesakan katanya, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terhadap saman dimiliki di cawangan trafik terdekat atau pun secara atas talian sebelum hadir membuat bayaran di kedua-dua lokasi tersebut.

“Tawaran diskaun ini merangkumi semua jenis kesalahan trafik kecuali saman kemalangan, saman berstatus tiada kompaun (NC), saman berstatus waran tahun semasa,saman OP Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.

“Golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung akan diberi keutamaan untuk menyelesaikan saman tersebut di kaunter khas. Oleh itu saya harap mereka yang memiliki saman tertunggak tidak melepaskan peluang ini,” katanya.

Tambahnya selepas ini pihaknya turut merancang untuk menjalankan aktiviti sama di beberapa kawasan lain antaranya Kulim, Padang Terap dan Pendang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN