KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung klip video kenyataannya yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, menteri berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membolehkan pihaknya memperoleh maklumat lanjut mengenai asas dakwaan dan kandungan klip video tersebut.
“Kita akan panggil beliau dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dakwaan yang dibuat itu diperoleh dari mana dan dibuat berasaskan apa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Pengurusan, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Video berdurasi 2 minit 39 saat itu menunjukkan Waytha Moorthy membuat kenyataan menerusi wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara dengan menuduh kononnya Malaysia menindas penganut Hindu dan masyarakat India. – Bernama










