Pas N. Sembilan desak Dr. Mahathir pecat Waytha Moorthy - Utusan Malaysia

Pas N. Sembilan desak Dr. Mahathir pecat Waytha Moorthy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 22 Nov. – Pas Negeri Sembilan hari ini mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memecat P. Waytha Moorthy kerana mengeluarkan kenyataan fitnah yang memburuk-burukkan Malaysia di luar negara.

Ketua Penerangannya, Mohd. Nasaruddin Baharuddin berkata, adalah amat malang apabila seorang yang memberi kenyataan sedemikian diberi amanah dan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tegasnya, kenyataan Waytha Moorthy kononnya kaum India mengalami diskriminasi melampau telah mengkhianati negara dan merosakkan kontrak sosial yang wujud sejak puluhan tahun lalu.

“Beliau mendakwa kerajaan menindas kaum India, mereka dipaksa masuk Islam, ditekan, kuil dirobohkan dan macam-macam lagi dakwaan.

“Kami minta Perdana Menteri supaya melucutkan segera jawatan beliau sebagai menteri. Kalau tidak diambil tindakan kita bimbang berlaku sesuatu tidak diingini kerana kenyataan beliau sangat bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Waytha Moorthy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini hari ini.

Pemimpin Hindraf itu dalam temu bual dengan stesen televisyen luar negara mendakwa, kaum India di negara ini tidak dilayan dengan adil, dipaksa memeluk Islam jika mahu bekerja di sektor kerajaan manakala sebanyak 10,000 kuil robohkan.

Sementara itu, Mohd. Nasaruddin meminta Waytha Moorthy supaya bertanggungjawab terhadap fitnah yang dibuat terhadap negara dan perlu meletakkan jawatannya.

“Kami merayu agar rakyat yang prihatin terhadap keharmonian dan perpaduan supaya menolak pemimpin begini. Kita seharusnya mengekalkan ikatan kontrak sosial yang terjalin sejak sekian lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN