KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengeluarkan tender terbuka bagi membangunkan sistem subsidi minyak bersasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tender itu dikeluarkan Kementerian Kewangan yang menguruskan perolehan pada Isnin lepas.
“Tender ini bagi mencadang, mengkaji, mereka bentuk, membangun, membekal, memasang, menguji dan mentauliah serta mengoperasi perkakasan perisian dan aplikasi untuk sistem subsidi minyak secara bersasar bagi petrol RON95,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengenai hasil libat urus yang telah dilaksanakan kementerian berhubung subsidi berkenaan.
Saifuddin berkata, pemilihan pembekal bagi membangunkan sistem itu akan dilaksanakan secara kompetitif bagi memastikan kecekapan sistem tersebut. – Bernama











