SHAH ALAM – Pemasangan papan tanda dwibahasa di daerah ini sebelum ini tidak pernah dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN).
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebaliknya keputusan pemasangan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor pada 2017 tanpa MMKN.
Katanya, beliau sendiri akan menyemak semula bagaimana kelulusan itu boleh dilakukan oleh jawatankuasa tersebut.
“Saya kena semak balik sebab itu keputusan 2017 dan tidak dibawa dalam MMKN, kalau ada mesti saya ingat.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri menjunjung kasih dan komited dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu papan tanda jalan dwibahasa yang dipasang di daerah ini sehingga mendapat perhatian Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri juga perlu menyemak secara menyeluruh sama ada penurunan papan tanda perlu dilakukan di kawasan lain di negeri ini.
“Kita sedang tunggu kertas (keputusan jawatankuasa berkaitan pasang papan tanda) sebab arahan itu tidak berikan melalui MMKN. Justeru, kita tunggu mengenainya bagi melihat secara menyeluruh tentang papan tanda itu,” katanya. – K! ONLINE










