KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengkaji semula polisi lama dan mengeluarkan peraturan yang lebih tegas berhubung penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda jalan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda iklan telah lama ditetapkan.
Jelasnya, papan tanda jalan wajar menggunakan bahasa Melayu kerana kebanyakannya menggunakan nama tokoh atau orang kenamaan yang sukar untuk diterjemahkan kepada bahasa lain.
“Buat masa ini polisi berhubung pemasangan papan tanda jalan adalah di peringkat negeri, bukan Persekutuan.
“Insya-Allah kementerian akan mengkaji semula dan mengeluarkan garis ketetapan lebih tegas,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Pada 19 November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di sini ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sahaja.
Isu mengenai papan tanda jalan berbahasa Cina di Shah Alam mula panas apabila gambar papan tanda tersebut dimuat naik penduduk Shah Alam, Selangor dalam laman media sosial menyebabkan orang ramai mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dan mempertikai kewajarannya. – UTUSAN ONLINE










