KUALA LUMPUR 19 NOV. – Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) berjaya memberi kemudahan dan manfaat kepada orang ramai yang boleh menyelesaikan pelbagai urusan dengan hanya berkunjung ke satu lokasi saja.
Ini terbukti dengan sambutan menggalakkan orang ramai ketika berurusan di UTC Pudu Sentral dan UTC mini di Sentul serta Keramat.
Menerusi pengalaman penulis yang pertama kali ke UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral baru-baru ini, mendapati seawal pukul 7.30 pagi orang ramai mula membanjiri kaunter di beberapa agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di stesen Merdeka dan Bukit Bintang rata-rata orang ramai memberi reaksi positif berhubung cadangan Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun baru-baru ini agar UTC mini diwujudkan di stesen Transit A-liran Massa (MRT) yang kurang jumlah pengguna.
Kewujudan UTC mini itu bukan sahaja dapat menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tetapi juga menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Rata-rata berpandangan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas, kewujudan UTC mini di stesen MRT lebih memudahkan dan menjimat masa mereka yang terikat dengan kerja.
Berdasarkan pemerhatian, turut mendapati masih ada ruang niaga yang kosong di beberapa stesen MRT.
Dalam masa sama orang ramai turut mencadangkan beberapa stesen MRT yang sesuai dibuka UTC mini.
Antaranya di stesen Taman Midah, stesen Taman Pertama dan stesen Bukit Dukung.
Ketiga-tiga stesen berkenaan menurut mereka antara lokasi yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi.
Pembukaan UTC mini itu juga menurut mereka dijangka meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam itu kepada 250,000 orang setiap hari seperti yang disasarkan kerajaan.










