Orang ramai digalakkan lakukan aktiviti sihat di Taman Eko Rimba Perak - Utusan Malaysia

Orang ramai digalakkan lakukan aktiviti sihat di Taman Eko Rimba Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Perhutanan Perak sentiasa menggalakkan orang ramai menyertai pelbagai aktiviti di semua 15 Taman Eko Rimba dalam usaha menyahut seruan kerajaan menjalani hidup sihat.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat dan swasta untuk menarik lebih ramai pengunjung ke sana. 

“Rakyat Perak sangat bertuah kerana negeri ini mempunyai banyak hutan lipur yang boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sihat dan ekstrem bersama keluarga dan rakan-rakan. 

“Selain menggalakkan masyarakat ke arah hidup yang sihat, kempen kesedaran mencintai hutan turut diadakan di Taman Eko Rimba ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Taman Hutan dalam Bandar 2018 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini hari ini. 

Menurut Mohamed Zin, pihaknya berharap pengunjung ke Hutan Eko Rimba di seluruh Perak yang puratanya dihadiri kira-kira 300,000 setahun itu dapat ditingkatkan setiap tahun. 

“Di Hutan Eko Rimba yang dahulunya dikenali sebagai Hutan Lipur ini, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan bersama keluarga dan rakan-rakan termasuk mendaki, bersenam, zumba dan sukan ekstrem lain selain menikmati pemandangan indah alam semula jadi,” katanya. 

Mengulas mengenai permit masuk Hutan Simpanan Kekal (HSK), Mohamed Zin menjelaskan, tidak sukar untuk orang ramai memohon permit untuk memasuki mana-mana HSK di Pejabat Hutan Daerah masing-masing. 

“Pemohon perlu mengisi borang dan membayar RM10 sebelum proses permohonan permit masuk HSK akan disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga hari. 

“Sama juga keadaannya untuk memasuki Pos Kuala Mu yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal Piah. Orang ramai perlu memohon permit masuk HSK kerana ia merupakan hutan tertutup yang perlu mendapat keizinan Jabatan Perhutanan sebelum memasukinya melainkan masyarakat setempat dan Orang Asli yang tinggal di sekitar hutan tersebut,” katanya. 

Katanya, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 sekiranya orang ramai memasuki HSK tanpa permit dan individu tersebut boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×