KUALA LUMPUR 13 Nov. – Menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi mengurus serta mengiklankan kegiatan perjudian dalam talian menerusi aplikasi WeChat untuk pemain judi di China.
Itu peranan 117 warga China dan seorang lelaki tempatan yang ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dalam serbuan di dua premis rumah banglo di Jalan Gurney di sini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3.50 petang itu, sebanyak 117 warga China ditahan, terdiri daripada 97 lelaki dan 20 wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati mereka menggunakan sistem pembayaran melalui WeChat Pay dan Ali Pay khas untuk pemain dari China yang ingin bermain judi.
Menurut beliau, mereka kemudian akan menghubungi penganjur di Malaysia dan melakukan transaksi melalui aplikasi berkenaan sebelum bertaruh dalam laman web.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati jumlah wang pertaruhan mampu mencecah RM200,000 hingga RM250,000 sehari dan RM6 juta bagi tempoh sebulan.
“Kita dapati kesemua warga China yang ditahan bertindak sebagai pengurus pertaruhan dalam talian, manakala seorang lelaki tempatan bertindak sebagai runner.
“Sindiket dipercayai beroperasi di dua banglo mewah yang disewa dengan harga RM30,000 sebulan sejak enam bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Jelas Mazlan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan itu seperti 118 komputer riba, 479 telefon bimbit, dua set komputer, 154 kad sim, wang tunai RM31,300 dan 6,000 Yuan (RM3,617).
Tambah beliau berdasarkan kajian dilakukan, sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi kerana hukuman di negara ini lebih ringan berbanding di negara mereka.
“Kita sudah memaklumkan kejadian ini kepada pihak kedutaan China untuk siasatan lanjut. Kesemua suspek telah direman empat hari dan berakhir hari ini namun permohonan untuk reman kedua sedang diproses bagi disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Pertaruhan 1953,” ujarnya.










