Operasi bot Melaka River Cruise dihentikan sementara - Utusan Malaysia

Operasi bot Melaka River Cruise dihentikan sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Perkhidmatan bot Melaka River Cruise yang beroperasi di Taman Rempah di sini terpaksa dihentikan sejak pukul 2 petang semalam berikutan paras air Sungai Melaka meningkat melebihi paras normal selepas empat pintu baraj air dibuka. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, perkhidmatan bot tersebut bagaimanapun dijangka beroperasi semula pada pukul 8 malam ini bergantung kepada paras air sungai.

Katanya, kerajaan negeri mengarahkan untuk membuka empat baraj air iaitu Durian Tunggal, Malim, Batu Hampar dan Sungai Melaka bagi memastikan kelancaran aliran air ke muara sungai selepas banjir melanda di Alor Gajah beberapa hari lalu.

“Limpahan air hujan di Sungai Tampin dan Sungai Batang Melaka, Alor Gajah akan mengalir melalui Sungai Melaka ini dan sepanjang laluan itu empat baraj air terpaksa dibuka sejak Isnin lalu bagi memastikan kelancaran aliran sungai.

“Apabila baraj ini dibuka, paras air Sungai Melaka meningkat dari paras normal 1.2 meter kepada 1.4 meter. Ekoran itu perkhidmatan bot Melaka River Cruise turut terjejas kerana bot tidak dapat melepasi jambatan di sepanjang sungai ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan paras air sungai di pintu baraj Sungai Melaka.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, keadaan paras sungai itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2018 yang dijadualkan pada 22 November hingga 1 Disember depan.

“Sekiranya paras air Sungai Melaka masih tinggi, hanya acara membabitkan bot Melaka River Cruise yang akan dihentikan sementara waktu manakala festival tetap diteruskan kerana kebanyakan aktiviti dilakukan di darat,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN