SHAH ALAM – Menepati ramalan, penyanyi Noryn Aziz dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-5 (GV5) yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebentar tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan pemilik nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz itu, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 sumbangan Astro, pakej penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort serta trofi.
Naib juara dimenangi Dia Fadila yang membawa pulang RM50,000 tunai, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort berserta trofi.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi Zamani manakala tempat keempat milik Amelina.
Kedua-dua penyanyi berkenaan selain menang pakej penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000 berserta trofi.
Rezeki ternyata tidak berpihak kepada Mya Ruslee dan Billy Zulkarnain apabila masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kelima dan keenam.
Mereka pulang dengan hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000.
Pada malam final itu, setiap peserta diberi dua tugasan iaitu tugasan duet dan battle.
Noryn cemerlang menyudahkan lagu Laskar Cinta dendangan asal Dewa 19 bersama penyanyi undangan, Awi Rafael.
Menerusi segmen tugasan Battle, Amelina dan Mya Ruslee menyanyikan lagu Teman Pengganti. Zamani dan Billy Zulkarnain (Bunga) manakala Noryn Aziz dan Dia Fadila (Where Is The Love). – K! ONLINE











