KUALA LUMPUR 20 Nov. – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak bersetuju dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang tidak membenarkan ahli Parlimen pembangkang untuk menghadiri sebarang program di sekolah tanpa kebenaran.
Nik Nazmi berkata, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sering dijemput ke sekolah kerana adalah tempat penting dalam kehidupan sivik.
“Mengharamkan pembangkang dari sekolah dan institusi lain adalah salah satu salahguna kuasa paling buruk Barisan Nasional (BN). Ramai pimpinan Pakatan Harapan termasuk saya sendiri jadi mangsa.
“Sekarang Pakatan Harapan telah jadi kerajaan, ia perlu meneruskan tindakan yang mempunyai etika dan tindakan moral yang tinggi. Kita mesti percaya wakil rakyat tak kira parti untuk bertanggungjawab bila terlibat dengan perbincangan awam kerana mereka dapat kepercayaan pengundi mereka,” katanya di laman Twitter miliknya hari ini.
Tambah Nik Nazmi, tindakan boleh diambil jika wakil rakyat tersebut salah guna platform itu seperti menghasut kebencian kaum dan agama atau sebar dakyah kepartian.
“Tetapi dalam kebanyakan kes, ahli politik harus dibenarkan masuk ke sekolah dan universiti bila mereka dijemput. Saya tidak faham mengapa isu ini masih timbul di Malaysia baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










