MILTON KEYNES, England 21 Nov. – Paris Saint Germain (PSG) bakal kehilangan khidmat Neymar bagi menghadapi Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara selepas penyerang Brazil itu mengalami kecederaan ketika mewakili skuad kebangsaannya menewaskan Cameroon 1-0 pada perlawanan persahabatan.
Penyerang PSG itu menerima kecederaan di pangkal paha dan terpaksa dikeluarkan seawal minit kelapan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong.
Penyerang Everton, Richarlison menggantikan Neymar menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-45 untuk mengumpul tiga jaringan bersama Brazil setelah membuat penampilan enam

kali.
Neymar menerima rawatan selepas lima minit dan kembali beraksi bagaimanapun setelah melakukan rembatan dia kemudiannya rebah sebelum dibawa keluar. Doktor pasukan, Rodrigo Lasmar cuba meredakan keadaan apabila berkata kecederaan Neymar tidak serius.
“Dia berasa tidak selesa. Dia memerlukan sedikit masa untuk membuat pemeriksaan dan melakukan imbasan namun apa yang pasti kecederaannya tidak begitu serius,” kata Lasmar.
PSG bakal menerima kunjungan Parc des Princes pada 28 November ini menyaksikan keempat-empat pasukan dalam Kumpulan C masih berpeluang untuk melepasi peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
Juara Perancis itu akan bertemu Toulouse bagi aksi Ligue 1 pada hujung minggu ini berdepan satu lagi masalah kecederaan selepas Kylian Mbappe cedera di bahu ketika membantu Perancis menewaskan Uruguay 1-0 dalam perlawanan persahabatan. – AFP










