KUALA LUMPUR 13 Nov. – Majlis Sukan Negara (MSN) meminta persatuan sukan kebangsaan (PSK) agar segera menyerahkan program yang hendak dilaksanakan jika mahu peruntukan disalur kepada mereka.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, persatuan sukan perlu menghantar serta membentangkan program masing-masing kepada MSN sebelum Januari depan.
“Sekarang sudah bulan November sepatutnya kita sudah ada pelan latihan. Sehingga hari ini tiada satu pun sukan mempunyai program latihan untuk tahun depan.
“Kalau tiada pelan latihan macam mana hendak beri peruntukan?
“Sesi perbincangan yang diadakan hari ini adalah tepat untuk membantu persatuan sukan menyediakan program latihan mereka,” katanya selepas memberi ucaptama pada Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 di MSN, Bukit Jalil, hari ini.
Bengkel dua hari itu bermula hari ini, melibatkan 26 PSK.
Kerajaan baru-baru ini memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2019 yang dikhususkan kepada persiapan atlet menuju Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
Shapawi berharap, jumlah peruntukan tidak menjadi isu pendebatan dalam kalangan persatuan sukan kerana masing-masing mempunyai pemahaman berbeza.
Mereka sebaliknya perlu menggunakan Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 sebagai platform untuk merangka pelan latihan tahun depan bagi membolehkan peruntukan disalurkan.
“Bengkel dua hari ini akan menghasilkan program latihan tahun depan disusuli anggaran jumlah perbelanjaan bagi program senior terlebih dulu kerana keutamaan adalah bagi menghadapi temasya penting seperti Sukan SEA, Asia, Komanwel dan Olimpik.
“Kami merancang untuk mengadakan bengkel yang berasingan membabitkan lebih kurang 30 jenis sukan yang tidak dipertandingkan dalam temasya sukan berkenaan.
“Kami juga akan melihat dan menilai program mereka,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Shapawi berkata, isu kontrak atlet Program Podium akan dibincangkan bersama setiap persatuan sukan.
“Mungkin ada atlet digugurkan. Mereka (PSK) akan cadangkan (nama-nama atlet) berserta alasan yang kukuh sebelum kita pertimbangkan keputusannya,” ujarnya.










