Najib akui mungkin ditipu Jho Low - Utusan Malaysia

Najib akui mungkin ditipu Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan telah ditipu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menye­babkan syarikat pe­laburan itu terpalit dengan kontroversi pecah amanah.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri turut mengatakan Jho Low perlu dikenakan tindakan undang-undang sekiranya segala kesalahan atau aktiviti pe­cah amanah itu dapat dibuktikan.

Malah, Najib sekali lagi me­ngulangi pendiriannya bahawa hubungan beliau dengan ahli perniagaan itu hanyalah atas dasar profesional disebabkan pencapaian Jho Low yang dilihat boleh membawa pelaburan dari negara Asia Barat terutama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2018 - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib
NAJIB TUN RAZAK

“Ya (Jho Low menipu). Kalau kita ambil kira apa yang diketahui pada hari ini, itulah kesimpulannya.

“Kalau dia buat kesalahan dan pecah amanah, itu bertentangan dengan undang-undang, jadi tindakan perlu diambil terhadap beliau,” katanya dalam program Sinar Live yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook akhbar Sinar Harian hari ini.

Najib diwawancara oleh Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.

Pada 20 September lalu, Najib me­ngaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan ra­suah berjumlah RM2.3 bilion.

Dalam masa sama, Najib turut mengatakan beberapa pihak yang telah dilantik bagi menguruskan pelaburan 1MDB telah gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

“Masa itu kita telah lantik peguam, juruaudit dan bank pelaburan tersohor peringkat global iaitu Goldman Sachs. Tanggungjawab bank ini sepatutnya menjaga kepentingan Malaysia. Kalau dia gagal jaga, macam mana saya nak tahu.

“Mereka patut memberitahu jika ada sesuatu tidak kena. Sistem yang kita wujudkan adalah untuk menjaga kepentingan, namun mereka tidak mainkan peranan sebenarnya,” katanya.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah me­lantik empat syarikat audit terkemuka iaitu Ernst & Young, KPMG Malaysia, Deloitte dan Parker Randall sebagai juruaudit 1MDB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN