KUALA LUMPUR 22 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melakukan penipuan sehingga menyebabkan syarikat pelaburan itu terpalit dengan kontroversi pecah amanah.
Malah, bekas Perdana Menteri turut mengatakan Jho Low perlu dikenakan tindakan undang-undang sekiranya segala kesalahan atau aktiviti pecah amanah itu dapat dibuktikan.
“Ya (Jho Low menipu). Kalau kita ambil kira apa yang diketahui pada hari ini, itulah kesimpulannya.
“Kalau dia buat kesalahan dan pecah amanah, itu bertentangan dengan undang-undang, jadi tindakan perlu diambil terhadap beliau,” katanya dalam program Sinar Live yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook akhbar Sinar Harian, hari ini.
Pada 20 September lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.
Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion. – UTUSAN ONLINE










