SEREMBAN – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan cuba mengelak menjadikan sekolah, terutama pusat peperiksaannya sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Nadma, Zakaria Shaaban berkata, ini kerana ia tidak mahu mengganggu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sedang berjalan.
“Pada musim peperiksaan ini kalau boleh kita tidak akan gunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir. Memang kalau boleh, kita cuba elakkan dan cari alternatif lain, tetapi dalam kes-kes tidak ada alternatif lain maka kita terpaksa menggunakan juga sekolah yang terlibat.
“Kita sudah pun meminta Kementerian Pendidikan untuk menyelaras perkara ini sekiranya pusat pemindahan itu melibatkan pusat peperiksaan. Maknanya kita kena asingkan atau jauhkan pusat peperiksaan itu dari pusat pemindahan itu. Mungkin pusat pemindahan itu di tingkat bawah ataupun kawasan yang tidak mengganggu. Perkara itu telah pun dibincangkan dan diambil kira,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan majlis penutup Latihan Pengurusan Pengoperasian Bencana peringkat Negeri Sembilan 2018 anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – Bernama










