KOTA KINABALU – Tan Sri Musa Aman menegaskan pasukan peguamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang menolak saman difailkan beliau sekali gus menyaksikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
“Sudah tentu kita berasa kecewa dengan keputusan pada hari ini (semalam). Bagaimanapun, suka saya menekankan bahawa isu ini bukan isu sama ada saya kembali menjadi Ketua Menteri atau tidak, sebaliknya yang sangat penting iaitu mengenai keluhuran dan tafsiran yang sebenar terhadap Perlembagaan Negeri serta kuasa Yang Dipertua Negeri untuk melantik dan memecat Ketua Menteri,” kata beliau satu kenyataan semalam.
Menurutnya, beliau berpendapat isu tersebut belum selesai sepenuhnya dan beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.











