MUHAMMAD HAZARUL HADI TWOSIMAN
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan program Ampang Jaya Night Run 2018 bertempat di Jalan Bandar 12, Taman Melawati pada 24 November ini.
Program yang memasuki tahun ketiga itu berkonsepkan larian malam mengelilingi Bandar Ampang untuk memberi peluang kepada peserta mengenali lokasi-lokasi menarik di situ.
Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Hajah Norhayati Ahmad berkata, seramai 3,000 peserta yang sudah berdaftar akan terlibat dengan acara larian tersebut.
“Acara larian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bagi acara 5 kilometer (km) dan 12km,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini.
Menurutnya, pelepasan larian bagi kedua-dua kategori akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. -UTUSAN ONLINE










