Minyak mentah dijangka melebihi permintaan - Utusan Malaysia

Minyak mentah dijangka melebihi permintaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 14 Nov – Bekalan minyak dunia dijangka melebihi permintaan sepanjang 2019 susulan peningkatan dalam pengeluaran tetapi pertumbuhan ekonomi pula perlahan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Rabu.

Dalam laporan bulanannya, agensi yang berpangkalan di Paris, Perancis itu mengunjurkan pertumbuhan permintaan global bagi 2018 dan 2019 tidak berubah berbanding bulan lalu iaitu masing-masing pada paras 1.3 juta tong sehari dan 1.4 juta tong sehari.

Namun IEA berkata, pihak­nya mengurangkan unjuran bagi pertumbuhan permintaan dari negara bukan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang merupakan enjin pengemba­ngan dalam penggunaan mi­nyak dunia.

“Berdasarkan pemerhatian dan unjuran pengeluaran negara bukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan permintaan global serta pengeluaran OPEC yang mendatar, jumlah stok dijangka berada pada paras dua juta tong sehari,” katanya.

Pengeluaran minyak mentah di seluruh dunia meningkat sejak pertengahan tahun ini dan perselisihan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China turut mengancam pertumbuhan ekonomi global.

Sejak awal Oktober, harga minyak mentah jatuh lebih suku di bawah paras AS$70 (RM293.7) setong, terendah dalam tempoh lapan bulan.

Agensi itu bagaimanapun meningkatkan unjuran pertum­buhan pengeluaran minyak dari­­ negara luar OPEC kepada 2.4 juta tong sehari tahun ini dan 1.9 juta tong sehari tahun hadapan berbanding masing-masing 2.2 juta tong sehari dan 1.8 juta tong sehari bagi 2018 dan 2019 sebelum ini.

Katanya, AS akan mendahului pertumbuhan pengeluaran dengan IEA menganggarkan jumlah bekalan minyak AS akan naik sebanyak 2.1 juta tong sehari tahun ini dan 1.3 juta tong sehari lagi pada 2019.

“Pengeluaran minyak mentah OPEC meningkat sebanyak 200,000 tong sehari pada bulan Oktober kepada 32.99 juta tong sehari, naik 240,000 tong sehari berbanding tahun lalu.

“Tahun depan, minyak OPEC dijangka kurang diperlukan berikutan pertumbuhan berterusan dalam bekalan bukan OPEC,” kata IEA sambil menambah bahawa ia telah mengurangkan unjuran permintaan minyak mentah OPEC sebanyak 300,000 tong sehari kepada 31.3 juta tong sehari pada 2019. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN