AGAK mengejutkan apabila Mohd. Hazlan Mohari, 33, datang dengan membawa beberapa buah kotak plastik hitam ketika sesi temu bual bersamanya baru-baru ini.
Banyak sungguh peralatan yang dibawa sedangkan apa yang diketahui, dia hanya gemar memasang jam tangan.
Dia membuka kotak-kotak plastik hitam tersebut dan mengejutkan apabila melihat lebih 100 jam tangan di dalamnya, serta aksesori yang digunakan bagi memasang jam tangan tersebut.
Mohd. Hazlan, yang berasal dari Kluang, Johor, adalah pemasang jam tangan jenama G-Shock dan melakukan hobinya ini sejak 2012 lagi.
Siapa menyangka pemilik Bengkel Cermin Kereta dan Tuntutan Insurans Cermin Iwanlan di Batu Pahat itu, merupakan seorang yang sangat teliti dan mahir dengan kerja-kerja ‘halus’ yang berkaitan dengan jam tangan.
Dia mahir membaiki, menukar bateri, menukar tali, menukar permukaan jam tangan dan sebagainya.
Walaupun jam tangan G-Shock, yang berasal dari Jepun ini ada dijual di kedai, tetapi biasanya hanya yang warna-warna asas sahaja seperti warna putih dan hitam.
Bagaimanapun, bapa kepada seorang anak lelaki ini boleh menukar tali jam tangan tersebut kepada pelbagai warna yang dikehendaki pelanggan.
Dengan kata lain, dia menerima tempahan memasang aksesori jam tangan tersebut supaya nampak berbeza daripada yang dijual di kedai.
Menceritakan bagaimana bermulanya hobi yang jarang-jarang dilakukan oleh orang lain, Mohd. Hazlan berkata, segalanya bermula setelah dia memiliki seutas jam tangan jenama tersebut yang dibeli pada harga RM400.
Teruja dengan jam tangan tersebut yang cukup disayangi, dia kerap membelek-belek bagaimana jam tersebut dibuat.
Dia mencuba melayari laman sosial YouTube bagi melihat bagaimana orang membuat atau memasang sendiri jam tangan tersebut.
“Dari situ saya mempelajari sendiri memasang aksesori jam melalui laman sosial. Ada juga saya bertanya kepada kawan-kawan yang pernah memasang aksesori jam tersebut.
“Saya sanggup mengambil risiko dengan membuka jam tangan sendiri dan melihat bagaimana rupa bahagian dalam jam tersebut. Kemudian saya cuba memasangnya semula dan berjaya.
“Saya berasa gembira dan bermula dari situ saya terfikir untuk menambah pendapatan dengan memasang aksesori jam tangan G-Shock kerana terdapat permintaan terhadap jam jenama itu dan yakin boleh melakukannya,” katanya semasa ditemui Meru, Klang, Selangor baru-baru ini.
Menurut Mohd. Hazlan, dia mula mengumpul alat-alat ganti dan aksesori yang dibeli melalui dalam talian. Kemudian dia praktis berulang kali sehingga betul-betul mahir.
Selepas mahir, dia mula mencari pasaran dengan mengiklankan dalam laman sosial dan menjual jam tangan yang dipasangnya. Buat permulaan, dia dapat menjual sebanyak empat buah jam tangan pada harga di antara RM300 hingga RM500. Jika dibeli di kedai, harga jam tangan jenama ini adalah dari RM250 ke atas dan ada juga yang berharga hingga ratusan ribu ringgit.
Mohd. Hazlan turut memiliki jam tangan edisi terhad yang dilengkapi dengan nombor siri. Sesetengah jam tangan ada alat pengesan yang boleh mengesan suhu, kedalaman untuk menyelam, Global Policy and Strategy (GPS), bluetooth dan kawalan muzik.
Jelasnya, setakat ini dia sudah menjual lebih daripada 100 utas jam tangan kepada pelanggan dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Keuntungan yang diperoleh agak menggembirakannya.
“Pelanggan membeli secara dalam talian. Mereka akan melihat laman sosial Facebook saya, Mohd Hazlan Mohari (Iwan Lan), memilih yang disukai dan bertanya jika saya ada menjual jam seperti yang dikehendaki. Jika ada, saya akan buat dan jika tiada saya akan berterus terang.
“Saya juga boleh menulis nama pembeli pada tali jam. Tempahan jam tangan boleh disiapkan dalam masa dua atau tiga hari dan setelah siap akan dipos.
“Kebanyakan pelanggan saya adalah lelaki yang berumur di antara 30 hingga 40 tahun yang membeli untuk pakai sendiri.
“Namun ada juga yang menjadi pengumpul. Biasanya mereka tidak memakai jam tangan tersebut tetapi hanya disimpan,” jelasnya yang membuat secara sambilan semasa tidak sibuk di bengkel.
Bagi koleksi sendiri, Mohd. Hazlan kini mempunyai sebanyak 88 utas jam tangan yang cukup disayangi yang telah disimpan selama lima tahun. Terdapat pelbagai rekaan, warna dan bentuk.
Ada juga jam tangan vintaj. Walaupun ada peminat jam tangan ini termasuk saudara dan kenalan yang ingin membeli, dia tidak akan menjual.
Dia sanggup menyimpan dan sesekali akan memakai jam tangan itu bergantung kesesuaian majlis, tempat dan suasana.
Katanya lagi, dia memang bercita-cita hendak membuka kedai, tetapi kos tinggi. Lebih mudah seperti ini, membuat secara sambilan dan sekadar hobi tetapi hobi yang boleh menjadi duit.










