PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan yakin bekalan air bersih di Port Dickson yang terjejas sejak empat hari lalu dapat dipulihkan sepenuhnya menjelang pukul 8 pagi esok.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pihak berwajib sedang membina semula tebing di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi yang runtuh tengah hari semalam bagi menangani masalah tersebut.
“Gangguan bekalan air di seluruh Port Dickson dan sebahagian kawasan di Seremban melibatkan sebanyak 34,000 akaun pengguna berlaku diluar jangkaan disebabkan kejadian tebing runtuh, Khamis lalu.
“Tebing yang dibina semula kelmarin pula tidak dapat bertahan dan dihanyutkan arus deras. Kita sedang membina tebing yang lebih tahan dan kerja itu dijangka selesai malam ini.
“InsyaAllah bekalan air pulih selewat-lewatnya pukul 8 pagi esok bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan LRA) Sungai Linggi di sini tengahari ini.
Aminuddin berkata, sebanyak 3,000 tan batu digunakan bagi membina tebing baharu di LRA Sungai Linggi bagi memastikan loji itu dapat berfungsi semula untuk penduduk Port Dickson.
Semalam, Kosmo! melaporkan ribuan penduduk Port Dickson dihimpit kesulitan mendapatkan bekalan air bersih akibat kejadian tebing runtuh di LRA Sungai Linggi sejak 22 November lalu.
Kejadian itu menyulitkan urusan seharian penduduk Port Dickson sehingga memaksa sebahagian mereka berulang-alik ke Seremban semata-mata bagi mendapatkan bekalan air bersih.
Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Hotel Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, bekalan air bersih yang terputus turut memberi impak besar kepada pengusaha-pengusaha hotel di sekitar bandar pelancongan ini.
Menurut beliau, masalah air yang melanda Port Dickson memaksa pengusaha hotel menyewa lori tangki untuk mengangkut bekalan air bersih bagi penampung pengunjung yang menetap di hotel masing-masing. – K! ONLINE











