IPOH 28 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak sekiranya dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang baharu dalam kongres luar biasa (EGM) yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini.
Ahmad Faizal berkata, sekiranya Jawatankuasa Eksekutif Pafa memikirkan beliau merupakan calon yang layak untuk mengetuai badan induk tersebut, beliau akan memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan pasukan Perak berada di peringkat tertinggi.
“Akhirnya, apa jua keputusan yang dibuat mestilah dipastikan momentum kejayaan itu dapat diteruskan. Saya hendak kita memberikan tentangan yang hebat dalam Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Itu yang penting, sama ada saya Presiden atau siapa juga. Kita hendak menunjukkan peningkatan kualiti bola sepak kita di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengakui rakan-rakan gabungan Pafa ada bertemunya berhubung cadangan untuk menjadikan Menteri Besar sebagai Presiden Pafa.
Beliau mengakui sekiranya jawatan Presiden Pafa digalas oleh Menteri Besar, ia akan memudahkan mereka untuk mendapatkan kemudahan untuk pasukan bola sepak Perak. – UTUSAN ONLINE










