BATU PAHAT 23 Nov. – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh seorang penternak lembu di Sungai Bindu, Jalan Tongkang Pechah, dekat sini kira-kira pukul 7 petang semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, selepas menerima maklumat tersebut, polis bersama-sama anggota bomba kemudiannya melancarkan operasi mencari di sepanjang sungai tersebut.
Menurutnya, mayat berkenaan ditemukan hanyut di Jambatan Bindu kira-kira pukul 9 malam.
Beliau berkata, mangsa ialah Mohd. Reziki Mohd. Yasin, 36.
“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dibedah siasat.
“Keluarga mangsa ada membuat laporan polis berkaitan kehilangannya, manakala motosikal yang digunakan mangsa telah ditemukan di Jambatan Kampung Sengkuang, Sri Gading dalam keadaan berkunci,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










