LONDON 31 Okt. – Real Madrid membuat kejutan apabila turut menyenaraikan Roberto Martinez sebagai calon utama untuk ketua jurulatih.
Martinez tidak mempunyai rekod cemerlang ketika membimbing kelab, namun namanya mula melonjak apabila membawa Belgium menduduki tangga ketiga pada Piala Dunia 2018.
Sebelum ini, bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte disebut-sebut sebagai calon menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat selepas empat bulan membimbing Real ekoran kekalahan memalukan 1-5 kepada Barcelona, minggu lalu.
Akhbar Britain, Daily Mail mendakwa, terdapat bantahan dalam bilik persalinan apabila nama Conte disebut sebagai calon jurulatih.
Begitupun, Real tidak pernah membuat tawaran rasmi kepada Martinez atau menghubungi Persatuan Bola Sepak Belgium (KBVB) bagi berbincang mengenai jurulatih berusia 45 tahun itu, yang hanya tamat kontrak selepas Kejohanan Eropah 2020.
Mengulas mengenai isu Martinez, KBVB hari ini berkata: “Kami tidak mahu mengulas tentang kandungan kontrak Persatuan Bola Sepak Belgium dengan pihak lain kerana ia adalah sulit.
“Namun, jika sesebuah kelab mahu melantik Martinez, mereka sepatutnya mencapai persetujuan dengan kami terlebih dahulu.”
Sebelum membimbing Belgium, Martinez pernah melatih Everton, Wigan dan Swansea.
Jika dia dilantik, ada kemungkinan Eden Hazard bakal menyertai Real kerana Martinez mempunyai hubungan baik dengan bintang tengah Chelsea itu di Belgium.
Sementara itu penjaga gol Real, Thibaut Courtois yang bermain di bawah Martinez dalam skuad Belgium, menafikan dia antara yang mendesak agar jurulatih kelahiran Sepanyol itu diambil berbanding Conte atau Jose Mourinho.
“Saya dengan tegas menafikan laporan yang disiarkan di @elpais_deportes mengenai saya.
“Ia (laporan) antara pembohongan yang menyakiti saya sebagai pemain profesional. Saya mahu mereka perbetulkan keadaan atau akan mengambil tindakan undang-undang,” tulisnya dalam Twitter. – AGENSI











