VALENCIA – Kesilapan pemilihan tayar pada perlumbaan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2018 GP Valencia membawa padah buat Marc Marquez apabila terlibat dalam kemalangan di Litar Ricardo Tormo di sini kelmarin.
Kemalangan tersebut juga menyebabkan juara dunia MotoGP lima kali itu kemungkinan tidak dapat beraksi pada sesi ujian pramusim pertama 2019 selepas sekali lagi mengalami kecederaan bahu kiri.
Bagaimanapun, selepas pemeriksaan, pelumba Sepanyol itu hanya mengalami kecederaan ringan dan mampu meneruskan misinya pada aksi pramusim bagi menguji jentera Honda tidak lama lagi.
Marquez mengakui dia melakukan kesilapan dalam pemilihan tayar apabila menggunakan tayar jenis medium ketika saingan berlangsung dalam cuaca hujan di Valencia memandangkan rata-rata pasukan lain menggunakan tayar jenis lembut.
Selepas beberapa pusingan, keadaan cuaca semakin buruk dan Marquez mengesan tayar belakang mula tidak mencengkam sebelum terjatuh di selekoh kesembilan ketika mengejar pelumba Suzuki, Alex Rins yang mendahului perlumbaan.
“Pada perlumbaan itu saya melakukan kesilapan kerana menggunakan tayar belakang jenis medium kerana ketika itu cuaca agak baik dan keadaan litar tidak banyak air. Jadi, saya membuat keputusan meneruskannya.
“Bagi saya ia satu kesilapan, sekali gus memberi kesan kerana saya gagal menamatkan perlumbaan memandangkan hanya saya seorang menggunakan tayar jenis medium.
“Bagaimanapun, ini adalah kesilapan pertama saya musim ini dan saya akan belajar daripada insiden itu,” ujar Marquez. – Agensi










