KOTA BHARU 26 Nov. – Pas tidak yakin Putrjaya akan mengotakan janjinya untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Justeru, parti itu akan tetap meneruskan harsatnya untuk mengadakan perhimpunan membantah ratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu itu kerana ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan negara.
Malah, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad harus membawa masuk keputusan tersebut ke Parlimen sekiranya benar-benar serius untuk tidak meratifikasikan ICERD.
“Kebimbangan kita ialah janji orang politik sebab itu ada cadangan di bawa ke Parlimen, dibuat pengisytiharan dalam Parlimen.
“Sebab janji orang politik ini boleh berubah. Manifesto pun dia tak tunai apatah lagi benda macam ini, sebab itu kita merasakan perlu kita turun pada 8 Disember ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Integriti peringjat negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











