SKUAD hoki negara menutup tiga siri persahabatan menentang pasukan No. 9 dunia, New Zealand dengan kemenangan bergaya 4-2 pada aksi terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Malaysian Tigers yang menggunakan jersi baharu tajaan Adidas buat kali pertama, beraksi jauh lebih bertenaga berbanding gergasi benua Oceania itu sepanjang perlawanan tersebut.
Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans amat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan dipamerkan anak-anak buahnya terutama peningkatan ditunjukkan pemain-pemain di bahagian serangan dan pertahanan.
“Jentera serangan menunjukkan peningkatan ketara dalam perlawanan ini berbanding sewaktu aksi pertama (tewas 1-2 kepada New Zealand minggu lalu).
“Prestasi barisan pertahanan juga lebih bagus walaupun ada melakukan satu kesilapan membenarkan New Zealand menjaringkan gol kedua mereka hari ini (semalam).
“Perancangan hari ini (semalam) ialah mencari jalan terbaik untuk cuba ‘menyakiti’ New Zealand dan akhirnya apa yang kami rancangkan berbaloi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Skuad negara, No. 12 dunia, bermula cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol pertama seawal minit kedua menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim sebelum The Black Sticks bangkit mengikat kedudukan melalui Kane Russell lapan minit kemudian.
Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil berjaya memastikan Malaysian Tigers kembali mendahului 2-1 (m-26) tetapi New Zealand sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi George Muir pada minit ke-46.
Barisan serangan skuad negara menunjukkan ketajaman mereka apabila berjaya meledak dua gol menerusi Faizal Saari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-49 serta ke-56 untuk memastikan kemenangan bergaya 4-2.
Peningkatan prestasi ditunjukkan dalam tiga aksi persahabatan ke atas New Zealand membuktikan skuad negara sudah bersedia menghadapi Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November ini hingga 16 Disember depan.










