Malaysia perlu tiru Indonesia - Utusan Malaysia

Malaysia perlu tiru Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad menganggap satu kerugian besar buat arena olahraga tanah air sekiranya cuma pelari terpantas Malaysia, Khairul Hafiz Jantan dihantar berlatih bersendirian di Amerika Syarikat (AS).

Nazmizan, 37, berpendapat enam pelari pecut termasuk Khairul perlu dihantar berlatih di AS agar dapat membentuk satu kuartet mantap untuk acara 4x100m dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

“Kita ada beberapa lagi pelari yang menghampiri ca­tatan masa Khairul dan mereka juga masih muda. Andai benar perancangan berlatih di AS direalisasikan, jangan hantar Khairul seorang sahaja tetapi bawa juga mereka bersama.

“Kalau hantar Khairul berlatih seorang di sana dan kemudiannya dia mengalami kecederaan, satu kerugian kerana kita tidak ada Pelan B. Lebih baik hantar enam atlet termasuk Khairul supaya dapat membentuk kuartet 4x100m.

“Catatan masa pelari-pelari yang lain sejak kebelakangan ini bukan lekeh. Kita perlu fikir satu pelaburan jangka masa panjang supaya kemudian hari tidak ‘pening kepala’ mencari pengganti setaraf Khairul,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Enam pelari yang dimaksudkan Nazmizan termasuk Khairul ialah Jonathan Nyepa, Muhammad Aqil Yasmin, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Nixson Kennedy.

Kosmo! kelmarin melaporkan jurulatih peribadi Khairul, Mohd. Poad Kassim masih menyimpan hasrat untuk melihat anak didiknya berlatih di AS walaupun secara bersendirian demi kelangsungan serta peningkatan karier pemegang rekod 100m dan 200m kebangsaan itu.

Nazmizan selaku pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam, mahu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meniru pelaburan besar tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia yang merupakan seteru utama negara di rantau Asia Tenggara.

Pelaburan utama Indonesia tahun ini ialah menghantar barisan pelari pecut seperti bintang muda, Muhammad Zohri, kuartet 4x100m lelaki dan ­atlet 100m lari berpagar wanita, Emilia Nova berlatih berbulan-bulan di AS sebagai persiapan Sukan Asia 2018.

“Kalau tidak mahu jadikan Indonesia sebagai contoh, kita ada ramai lagi atlet berkelana di luar negara berbulan-bulan lamanya seperti jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang berpusat di Melbourne, Australia.

“Bekas pemain skuasy No. 1 dunia, Datuk Nicol David pula di Amsterdam, Belanda. Legenda renang negara, Alex Lim Keng Liat dahulu di AS, sama juga seperti Josiah Ng yang merupakan pelumba basikal pertama negara layak ke Sukan Olimpik.

“Fasiliti yang ada di AS jauh lebih bagus berbanding negara-negara lain. Sedangkan Jamaica juga ada kem pusat sendiri di AS. KOM tiada cara lain selain mencari penaja untuk menghantar keenam-enam pelari negara ke sana,” ujar Nazmizan yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis.

Hasilnya, Lalu berjaya merangkul gelaran raja pecut remaja dunia selepas menjuarai aksi final 100m Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2018 dengan catatan masa 10.18s, sama se­perti rekod peribadi Khairul dilakukannya dua tahun lalu.

Bintang baharu dunia berusia 18 tahun itu juga konsisten dengan catatan masa antara lingkungan 10.18s hingga 10.27s sepanjang tahun ini hingga berjaya meraih tempat ketujuh final 100m Sukan Asia 2018, tewas kepada pemegang rekod Asia dari China, Su Bingtian.

Lebih menarik, Bingtian adalah pelari Asia pertama melakukan catatan masa bawah 10s dengan rekod peribadinya ialah 9.91s, juga menjadikan AS sebagai tempat latihannya selama ini.

Sikap tidak kedekut Indonesia untuk melabur besar demi kebaikan atlet menyaksikan mereka kini dianggap negara sedang meningkat naik di benua Asia hasil kejayaan kuartet 4x100m lelaki dan Emilia Nova memenangi pi­ngat perak dalam acara masing-masing.

Khairul, 20, pasti berdepan tugas sukar untuk mempertahankan gelarannya sebagai raja pecut Asia Tenggara selepas meraih pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada edisi seterusnya di Manila hujung tahun depan.

Justeru, KOM dan pihak-pihak bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu buat barisan atlet negara yang berpotensi besar memandangkan catatan terbaik Khairul sejak dia merekodkan 10.18s dua tahun lalu ialah 10.34s dilakukan Mac tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN