NEW YORK 29 Nov. – Malaysia sedang mengadakan rundingan secara langsung dengan Goldman Sachs Group Inc untuk mendapatkan kembali lebih AS$600 juta duit yang diperoleh daripada 1MDB.
Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan Bloomberg di Instanbul kelmarin mengesahkan urusan tersebut.
Goldman telah kehilangan AS$11 bilion nilai pasaran, sejak Anwar berkata pada 12 November lalu Malaysia berusaha mendapatkan “bayaran balik sepenuhnya” dari apa yang diuruskan oleh bank itu dalam mengatur penjualan bon 1MDB yang dilanda skandal.
Anwar menjangkakan tekanan pasaran cukup untuk memaksa Goldman ke meja rundingan, dan jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.
“Kami agak optimis dengan maklum balas mereka,” kata Anwar dalam temu bual di Istanbul pada 27 November.
“Mereka terjejas teruk dan kami mempunyai pilihan: berunding dengan mereka, yang mungkin terbaik untuk Malaysia, atau jalur undang-undang,” katanya.
Malaysia telah mengadakan perbincangan awal dengan Jabatan Kehakiman AS bagi mendapatkan kembali dana itu, kata Anwar.
Amerika Syarikat memfailkan tindakan undang-undang pemalsuan terhadap AS$1.7 bilion aset yang dikatakan dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB, termasuk rumah-rumah mewah di California, kondominium mewah di New York, barang kemas, karya seni, dan kapal layar AS$250 juta yang dimiliki oleh Low Taek Jho. Kapal layar tersebut telah dilelong dan pembidaan ditutup semalam.
Malaysia menjangkakan mendapatkan kembali sekurang-kurangnya AS$600 juta, kata Anwar, dan mungkin lebih tinggi dengan rundingan berterusan.
Bank berkenaan memperolehi AS$593 juta dengan mengatur tiga jualan bon 1MDB yang dinaikkan nilainya kepada AS$6.5 bilion, ini “terlalu tinggi”, katanya.
“Kami harap ini dapat diselesaikan dengan cepat,” kata Anwar. “Bagaimanakah anda enggan bekerjasama apabila anda tahu berbilion-bilion telah dicuri daripada rakyat?” – UTUSAN ONLINE










