KUALA LUMPUR 28 Nov.- Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Majlis Tafiz Negara pada awal tahun depan dalam usaha untuk menyelaras semua sekolah-sekolah tahfiz swasta berdaftar di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, menerusi majlis tersebut kerajaan boleh memberi jaminan kepada keselamatan, pensijilan dan penarafan selain peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz swasta berkenaan.
“Sebab itu kita menyarankan semua sekolah tahfiz swasta ini berdaftar dengan jabatan agama Islam kerana apabila mereka berdaftar, kita boleh menjamin keselamatan mereka termasuk daripada aspek pensijilan dan penarafan serta peruntukan.
“Kawalan, penarafan dan pensijilan sekolah tahfiz swasta tersebut hanya boleh dilaksanakan apabila wujudnya Majlis Tahfiz Negara kerana ketika ini kita hanya mempunyai Dasar Pendidikan Tahfiz Negara,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan meneruskan dasar untuk membangunkan pusat tahfiz termasuk menambah baik serta memberikan latihan kepada pelajar-pelajar tahfiz.
Sementara itu, Fuziah menjelaskan, untuk tujuan tersebut juga, kerajaan akan meminda undang-undang melalui Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) (Akta 505) Pindaan kepada Seksyen 97 bagi meluaskan kuasa majlis bagi mengawal sekolah agama Islam. – UTUSAN ONLINE










