KUALA LUMPUR 22 Nov. – Saman pemula yang difailkan oleh seorang pengundi di Port Dickson bagi mendapat perisytiharan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam J. Leela yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, saman Noraziah Mohd. Shariff, 38, dibatalkan oleh Hakim Datuk Azizah Nawawi selepas pemohon tersebut
tidak hadir untuk memaklumkan usahanya bagi melantik peguam baharu.
Pada 8 November lalu, Hakim Azizah memerintahkan supaya Noraziah melantik peguam yang baharu selepas peguam terdahulu, Datuk M. Reza Hassan menarik diri daripada mewakilinya.
Noraziah selaku pihak pemohon sebelum ini memohon perisytiharan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak berhak bertanding sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat ekoran status pengampunannya yang dipertikaikan.
Pada 28 September lalu, Noraziah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.
Noraziah turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi Ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.
Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.
Noraziah mengemukakan pemohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.
Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lalu, Anwar telah dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.
Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).
Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan. -UTUSAN ONLINE











