SAINT-DENIS, Perancis 19 Nov. Luis Suarez berkata, rakan sepasukannya di Barcelona, Ousmane Dembele perlu lebih bertanggung jawab selepas dia dilaporkan terlepas menghadiri sesi latihan kerana terlalu lama bermain permainan video.
Skuad Catalans bukan sahaja risau tentang Dembele yang mungkin sudah ketagih bermain permainan tersebut, yang boleh menjejaskan kariernya dengan kelab.
Suarez, yang juga tidak asing dengan isu disiplin, berkata pemain Perancis berusia 21 tahun itu yang menyertai kelab gergasi Sepanyol berkenaan dengan bayaran 105 juta euro (RM504 juta), harus mengikut contoh sebahagian rakannnya di Barca.
“Ousmane tahu bahawa bola sepak merupakan penghormatan kepada semua pemain, mungkin dia patut memberi fokus yang tinggi dan lebih bertanggung jawab terhadap sesuatu perkara.
“Terdapat banyak contoh profesionalisme di Barca yang boleh diambil sebagai inspirasi. Dia akan terus belajar, tahap keyakinan tinggi untuk membolehkannya berjaya di Barcelona,” kata penyerang Uruguay itu menjelang pertembungan negaranya menentang Perancis di Stade de France hari ini.
Suarez menjadi tumpuan ekoran kontroversi melanda kariernya. Dia digantung kerana menggigit pemain semasa menyarung jersi Ajax, sehingga digelar ‘Cannibal’ oleh media Belanda, sebelum menyertai Liverpool.
Bagaimanapun Suarez menjadi lebih terkenal selepas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini ketika perlawanan akhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.
Suarez menjatuhkan badan dan Chiellini menunjukkan bekas gigitan, sebelum pemain Itali berkenaan membuat aduan kepada pengadil. – AFP










