LONDON – Pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek terus mengekalkan sikap positif berhubung situasinya yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama The Blues musim ini.
Pemain antarabangsa England itu dilaporkan kurang gembira dengan masa bermain bersama Chelsea, terutamanya dalam saingan Liga Perdana England (EPL) apabila hanya dimasukkan sebagai pemain gantian.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Maurizio Sarri sentiasa menurunkan Loftus-Cheek dalam kesebelasan utama bagi saingan Liga Europa yang menyaksikan dia meledak hatrik ke atas BATE Borisov dua minggu lalu.
Justeru, dia mungkin akan terus diberikan tanggungjawab membarisi bahagian tengah The Blues menjelang aksi kedua peringkat kumpulan menentang Borisov di Borisov Arena awal pagi esok.
“Segala-galanya berjalan lancar dan tidak ada sebarang masalah untuk saya. Saya sentiasa mengamalkan sikap positif serta menggunakan peluang beraksi dengan sebaik mungkin. Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja.
“Sudah tentu saya mahu bermain sebanyak mungkin pada musim ini. Sekiranya peluang bermain itu hadir menerusi saingan Liga Europa, ia sudah cukup baik untuk saya,” kata Loftus-Cheek.
Pada saingan musim lalu, pemain berusia 22 tahun itu beraksi bersama Crystal Palace secara pinjaman, namun musim ini Sarri enggan melepaskan Loftus-Cheek ke mana-mana kelab. – Agensi










