PORT DICKSON 14 Nov. – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan merancang untuk mewujudkan perkampungan baharu atau penempatan semula nelayan di sini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan golongan tersebut.
Pengarahnya, Muhamad Hassim Mat Jahaya berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi tanah rezab daripada kerajaan negeri untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Untuk program kali ini kita cadangkan penempatan semula nelayan dan akan berbincang bagi mengenal pasti mana-mana tanah yang kosong dan sesuai. Kerajaan negeri akan menanggung kos prasarana termasuk jalan raya, surau, balai raya dan taman rekreasi. Komitmen pihak kami adalah menyediakan peruntukan membina rumah.
“Sekiranya kerajaan negeri berminat dengan usaha ini, maka kerjasama yang baik akan wujud antara kerajaan negeri dan juga LKIM bagi menyediakan penempatan kepada nelayan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan bagi bulan November di Bagan Pinang di sini.
Yang turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Mohd Ibrahim Khan Amanula Khan.
Seramai 299 Ahli Persatuan Nelayan kawasan Port Dickson dan Telok Kemang menerima bantuan elaun sebanyak RM300 setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM90,000.
Muhamad Hassim berkata, hampir 100 orang nelayan daripada persatuan itu telah memohon untuk menyertai penempatan semula dan ia sedang dalam pertimbangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, LKIM akan menawarkan bantuan baharu kepada nelayan secara tunai sekiranya elaun sara hidup dihentikan pada tahun akan datang.










