Lima termasuk pegawai kanan JIM ditahan, wang tunai RM91,000 ditemukan - Utusan Malaysia

Lima termasuk pegawai kanan JIM ditahan, wang tunai RM91,000 ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov.- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima individu termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berpangkat Datuk selepas dipercayai menerima rasuah.

Empat lagi individu yang ditahan iaitu tiga pegawai dari jabatan sama dan seorang ahli perniagaan.

Menurut sumber, pada mulanya, Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor Bahru.

Ujarnya, susulan itu, tiga lagi pegawai termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 46 tahun ditahan antara pukul 3.25 petang sehingga 3.45 petang.

“Sehubungan itu, satu lagi tangkapan telah dilakukan terhadap ahli perniagaan berusia 50 tahun di pejabat syarikat miliknya kira-kira 10.25 pagi ini di sekitar Johor.

“Kesemua suspek dipercayai telah menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan
siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kita turut melakukan penggeledahan di rumah pegawai kanan tersebut dan menemukan wang tunai dalam pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM91,000.

“Turut ditemukan iaitu buku akaun bank di Singapura atas nama suspek bernilai RM 1.8 juta. penahanan ini juga adalah maklumat dan kerjasama antara SPRM serta jabatan terlibat,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×