KUALA LUMPUR 3 Nov. – Lima negeri iaitu Perak, Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan sudah menjadi ‘negeri orang tua’ apabila peratusan penduduknya berusia 60 tahun ke atas melebihi kadar tujuh peratus yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Setakat 2018, Perak berada di kedudukan teratas sebagai negeri paling ramai warga emas dengan 14.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk diikuti Perlis 13.1 peratus.
Tiga lagi negeri iaitu Pulau Pinang (12.7 peratus), Melaka (12 peratus) dan Negeri Sembilan (11.9 peratus) manakala jumlah peratusan warga emas di seluruh Malaysia pula adalah 10 peratus daripada 32.4 juta orang dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.1 peratus.
Justeru, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, banyak kesan yang akan dihadapi kerajaan apabila peratusan penduduk warga emas meningkat seperti yang berlaku di Jepun ketika ini.
“Jepun mempunyai penduduk warga emas paling ramai di dunia. Kebanyakan barangan yang dijual di sana adalah mengikut keperluan warga emas dan secara tidak langsung memberi kesan kepada barangan keperluan generasi muda.
“Sektor ekonomi juga akan terkesan dengan penuaan populasi penduduk ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Datathon dan pelancaran StatsDigital di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelasnya, gelombang penduduk warga emas di Malaysia akan menjadi lebih besar menjelang 2030 dan antara persediaan yang perlu diberi keutamaan kerajaan adalah berkaitan kemudahan awam buat golongan tersebut.
“Antara fokus lain yang perlu diberikan perhatian adalah persediaan simpanan kewangan warga emas, pengurusan bagi mereka yang sudah uzur dan cara menangani mereka yang mengalami masalah depresi,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan jumlah warga emas di lima negeri tersebut lebih ramai antaranya ramai pesara menjadikan negeri terlibat sebagai tempat untuk menghabiskan sisa hidup mereka.
Perak misalnya kata beliau, dikenali sebagai negeri yang mempunyai suasana aman, tenang dan tidak begitu sibuk.










