Lima ditahan cuba rasuah polis, miliki dadah - Utusan Malaysia

Lima ditahan cuba rasuah polis, miliki dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Empat lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan kerana memiliki dadah serta cuba memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada polis untuk mengelak daripada diberkas.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika dua anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki dan seorang wanita di Jalan Yaakob Latiff, Cheras, di sini  Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, semasa ditahan, seorang daripada mereka enggan membenarkan anggota tersebut melakukan pemeriksaan bonet kereta dan menghulurkan sekeping sampul berisi wang tunai berjumlah RM3,600.

“Amaran mengenai kesalahan memberi rasuah telah diberitahu kepada suspek tetapi dia tetap merayu supaya tiada pemeriksaan bonet dilakukan dan kira-kira 30 minit kemudian, dua lagi lelaki datang menghulurkan wang tunai berjumlah RM1,400.

“Pemeriksaan ke atas bonet kemudian menemukan pelbagai jenis dadah jenis serbuk (anggaran berat 1700 gram) dipercayai heroin (anggaran berat 200 gram), kira-kira 700 biji pil pelbagai warna (anggaran berat 200 gram)  alat penimbang, gunting dan (4) botol cecair,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, satu serbuan dilakukan kira-kira pukul 8 pagi oleh sepasukan anggota yang diketuai Ketua Polis Balai Salak Selatan, Asisten Superintenden  Naidu Vengho ke rumah suspek di Batu 11, Cheras, dekat sini pada hari yang sama.

Jelasnya, serbuan itu menemukan pelbagai jenis dadah berbentuk serbuk dengan anggaran berat 100 gram, 150 biji pil pelbagai warna disyaki dadah (anggaran berat 50 gram).

Tambahnya, kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 19 November lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes memberi rasuah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN