PADAH kerana masih berdegil mengambil bahan terlarang, lima ‘badang’ negara digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) selepas disahkan positif doping ketika menjalani sesi pendengaran dalaman baru-baru ini.
Paling mencuri tumpuan ialah kes yang melibatkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd. Hafifi Mansor kerana dikesan menggunakan bahan terlarang jenis anabolic steroid oxymetholone bagi meningkatkan prestasi.
Justeru, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pemegang rekod kebangsaan itu bakal dihukum bermula dari tarikh kes dikesan sehingga 22 Jun 2022.
“Mereka digantung dan dilarang menyertai mana-mana aktiviti serta kejohanan selama tempoh penggantungan.
“Atlet tersebut juga telah menjalani sesi pendengaran dalaman untuk mempertahan dan membela diri sebelum keputusan ini diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan dibawa dalam Mesyuarat Exco PABM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Empat lagi atlet angkat berat yang menerima hukuman penggantungan ialah Mohamad Fazrul Azrie Mohdad (sehingga 28 Mac 2022), Muhammad Hakimie Haikal Nordin (sehingga 22 Mac 2022), Muhammad Zaidi Mohd. Nordin (22 Mac 2022) dan Ronny Jesus (sehingga 22 Mac 2022).
Keempat-empat atlet terbabit dikesan menggunakan bahan terlarang jenis stanozolol iaitu steroid anabolic untuk merangsang prestasi.
Susulan peningkatan kes doping berkenaan, PABM turut berdepan risiko digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Dalam pada itu, Ayub berkata, keputusan yang diputuskan itu sudah dimaklumkan kepada semua pihak bagi tindakan selanjutnya.










